LOVE ALLAH RASULULLAH FAMILY & FRIEND

Saturday, March 12, 2011

Beza Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh

"Usul Fiqh" dan "Kaedah Fiqh" atau "Qawaid Fiqhiyyah" merupakan dua istilah yang sering kali kita dengar dan sering kali di salahgunakan oleh mereka yang tidak mahir di dalam disiplin ilmu syariah. Kedua-dua istilah ini nampak seolah-olah tiada perbezaan tetapi sebenarnya ia mempunyai perbezaan yang amat ketara sekali.

Setiap kali adanya isu-isu yang menyentuh persoalan agama maka istilah-istilah seumpama inilah yang sering kali kedengaran di sana-sini, semuanya ingin membicarakan tentang persoalan tersebut walaupun sebenarnya mereka jahil dan tiada kelayakan untuk berbicara mengenainya, masing-masing ingin menunjukkan bakat dalam mengemukakan hujah masing-masing walaupun mereka bukan ahlinya.



Yang terkini isu penggunaan kalimah Allah juga tidak kurang juga yang membicarakannya. Ada dari kalangan yang bukan aliran agama atau ustaz sanggup mencaci Majlis Agama kerana mengharamkannya. Ada pula yang sanggup memperlekehkan kenyataan Dr Harun Din dan menggambarkan bahawa beliau hanya mengikut methodology usuluddin tanpa menitikberakan soal dakwah. Dan bermacam-macam suara lagi. Di sini saya tidaklah mahu mengutarakan pandangan berkaitan dengannya kerana merasakan ia sudah mencukupi.

Dalam isu penggunaan kalimah Allah, kaedah SADDUZ ZARAEI' merupakan yang popular diperkatakan tetapi tidak kurang juga berlakunya kesilapan-kesilapan, Antara kesilapan yang sering didengar ialah:

1. Mengatakan ianya merupakan satu "qawaid fiqhiyyah" sedangkan ia merupakan satu sumber dalil di dalam perbahasan usul Fiqh.

2. Menyebut SADDUZ ZARAIE' dengan SYADDUZ ZARAIE'. Sadduz Zaraie' bererti menghalang perkara yang dibimbangi ia terjebak kepada perkara yang haram sedangkan Syadduz zaraie beerti menarik ke arah perkara tersebut. Satu makna yang sangat berlawanan.

Mungkin ada orang mengatakan ini merupakan isu yang remeh tetapi sebenarnya ia merupakan satu kesalahan fakta yang perlu diperbetulkan. Memang itu yang sering dijawab apabila seseorang tokoh apabila diberikan komentar atau teguran. Amatlah kurang sekali mereka yang sanggup menerima teguran akibat kesilapan- kesilapannya. Jika inilah juga jawapannya saya bimbang merka termasuk dalam golongan yang takabbur dan tak mahu menerima kebenaran.

Di sini saya ingin menukilkan beberapa perbezaan antara "KAEDAH USUL FIQH" dan "KAEDAH FIQH @ QAWAID FIQHIYYAH:

1. Kaedah Usul Fiqh adalah cara-cara untuk kita mengistinbat (mengeluarkan hukum) dari nas-nas Al-Quran dan Sunnah, seperti kaedah "Setiap perintah menunjukkan wajib melainkan adanya Qarinah yang mengubahnya", Sedangkan "Kaedah Fiqh" adalah rumusan secara umum terhadap hukum-hukum yang telah dikeluarkan dari nas-nas tersebut.

2. Kaedah Usul Fiqh adalah satu kaedah yang kulliyyah (digunakan bagi setiap perbincangannya) tanpa adanya pengecualian sedangkan Kaedah Fiqh adalah kaedah yang aghlabiyyah (kebanyakan)

3. Kaedah Usul Fiqh digunakan untuk mengeluarkan hukum, iaitu ia digunakan sebelum sesuatu hukum diputuskan sedangkan Kaedah Fiqh adalah rumusan terhadap hukum-hukum yang telah ada (Usul fiqh sebelum adanya hukum tetapi kaedah fiqh setelah adanya hukum).

Akhirnya saya ingin mengajak semua termasuklah diri ini supaya kita meletakkan diri kita ditempat yang sepatutnya, jika kita pakar ekonomi janganlah mempertikaikan ulama dan tak payahlah nak mengeluarkan pandangan berkaitan masalah-masalah agama yang memerlukan ahli yang pakar di dalamnya. Biarlah ulama berbincang sesama mereka, merekalah yang layak mengeluarkan pandangan walaupun berbeza sekalipun. Zalimlah kita jika kita membicarakan apa yang tidak kita ketahui. Masing-masing Allah kurniakan kepakaran masing-masing, gunakanlah sebaik mungkin untuk Agamanya beramanahlah dengan ilmu tersebut. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila amanah diberikan bukan pada ahlinya tunggulah saat kehancuran".

Amanahkah kita jika kita meletakkan diri kita di tempat yang tidak sepatutnya?




Sedikit tambahan. Saya bukanlah orang yang arif tentang hal ini. Tetapi, secara generalnya saya dapat huraikan sedikit sebagaimana asasnya diajar dalam Pendidikan Syari'ah Islamiyyah di peringkat Sekolah Menengah Agama Atas.

Definisi Kaedah Fiqh

.حكم أكثري ل كلي ينطبق على أكثر جزئياته لتعرف أحكامها منه

Kaedah Fiqh ialah hukum kebanyakan (bukan keseluruhan) yang terpakai ke atas kebanyakan permasalah fiqh, untuk mengetahui hukumnya berdasarkan kaedah tersebut.

Setiap kaedah menentukan ciri khusus yang ada pada beberapa himpunan permasalahan sekalipun ia datang daripada pelbagai tajuk dan bab yang berlainan.

Definisi Usul Fiqh

Perkataan Usul al-Fiqh berasal dari dua perkataan bahasa Arab, iaitu Usul dan al-Fiqh. Dari segi bahasa, Usul adalah jama' kepada perkataan al-aslu yang bererti asas, sumber, kaedah atau dalil, manakala al-Fiqh membawa maksud memahami sesuatu perkara. Dari segi syarak pula, al-Fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.

Hasil daripada gabungan Usul dengan al-Fiqh, maka terbentuklah satu istilah yang tersendiri iaitu Usul al-Fiqh.

Dari segi syara', usul fiqh adalah ilmu yang membicarakan tentang kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.

Perbezaan Antara Usul Fiqh dan Qawaid Fiqh

1. Usul Fiqh adalah neraca ilmu fiqh bagi mengistinbat (mengeluarkan) hukum yang sahiih. Kaedah usul dicipta bagi mengeluarkan hukum, kaedah fiqh pula untuk mengikat pelbagai masalah dengan satu kaedah

2. Hanya hukum yang ijmaliyy dibina di atas kaedah usul. Kaedah fiqh pula adalah ‘illah kepada hukum masalah

3. Kaedah usul hanya terbatas dalam bab usul fiqh sahaja, sedangkan kaedah fiqh tidak terbatas

4. Kaedah usul yang disepakati tidak mengecualikan apa-apa, tetapi kaedah fiqh akan sentiasa mempunyai pengecualian

5. Kaedah fiqh adalah terkemudian daripada kaedah usul dari segi kewujudan

6. Jika berlaku percanggahan, maka hendaklah didahulukan hukum yang terhasil melalui kaedah usul

Lima Kaedah Fiqh Utama

1. Segala amalan berdasarkan niat المور بمقاصدها

2. Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan اليقين لا يزول بالشك

3. Kemudaratan hendaklah dihilangkan الضرر يزال

4. Kesulitan membawa peringanan المشقة تجلب التيسير

5. Adat diterima sebagai hukum العادة محكمة

Rujukan

1. http://www.usulifaqih.com/ilmu/usul-fiqh-siri-1/
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Usul_al-fiqh

1 comment: